COINTELPRO (singkatan untuk Counter Intelligence Program; “Program Risik Balas”) ialah serantaian projek menyamar, dan selalunya salah di sisi undang-undang, yang dijalankan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Serikat dengan tujuan memantau, menyusup masuk, mencemarkan nama baik, dan mengganggu pertubuhan politik tempatan.

Antara taktik-taktik yang digunakan oleh COINTELPRO ialah mempersiasuikan sasarannya melalui perang psikologi, menanam laporan palsu dalam akhbar, memburuk-burukkan melalui surat palsu, gangguan, pemenjaraan salah, keganasan di luar batas undang-undang dan pembunuhan. Operasi penyamaran COINTELPRO ini berlaku selama tahun 1956 hingga 1971; namun demikian, FBI telah menggunakan operasi penyamaran untuk menentang kumpulan politik tempatan semenjak ditubuhkan lagi. Dorongan tersurat FBI ketika itu adalah “melindungi keselamatan negara, mencegah keganasan, serta memastikan ketenteraman sosial dan politik yang sedia ada.”

Mengikut rekod FBI, 85% sumber COINTELPRO menyasar kumpulan-kumpulan dan individu-individu yang dianggap oleh FBI sebagai “subversif,” termasuklah pertubuhan komunis dan sosialis; pihak-pihak yang berkait rapat dengan pergerakan hak awam, termasuk Dr. Martin Luther King, Jr. dan lain-lain yang bersekutu dengan Persidangan Kepimpinan Kristian Selatan, Persatuan Kebangsaan untuk Kemajuan Kaum Kulit Hitam, Kongres Kesamarataan Ras dan lain-lain; kumpulan nasionalis kulit hitam; Gerakan Indian Amerika; sekelompok besar pertubuhan “Kiri Baru”, termasuk Mahasiswa untuk Masyarakat Demokratik dan Weathermen; hampir semua pihak yang menentang Perang Vietnam, dan juga penunjuk perasaan jalanan yang tidak menganggotai sebarang pertubuhan; Persatuan Peguam Negara; pihak-pihak yang berkaitan dengan gerakan hak wanita; kelompok nasionalis seperti yang menuntut kemerdekaan untuk Puerto Rico, Ireland Bersatu, dan gerakan buangna Cuba termasuk Cuban Power oleh Orlando Bosch dan Gerakan Nasionalis Cuba; dan beberapa lagi tokoh terkenal Amerika seperti Albert Einstein (yang pernah menganggotai beberapa kumpulan hak awam). 15% sumber COINTELPRO yang selebihnya diluaskan untuk meminggirkan dan menjatuhkan maruah “kumpulan kulit putih pembenci,” termasuk Ku Klux Klan dan Parti Hak Negeri Kebangsaan.

Advertisements